http://kperak.blogdrive.com/

 Selamat Datang


pelawat

Anda pelawat ke:
Free Hit Counter


<< May 2012 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 31


Contact Me
If you want to be updated on this weblog Enter your email here:
rss feed

 Tazkirah K-Perak

Friday, September 21, 2007

Amalan Sunnah Ramadhan


1. Makan sahur dengan mengakhirkannya

Dari Anas ra. bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Makan Sahurlah, kerana sahur itu barakah". (HR Bukhari 1923 dan Muslim 1095).

Dari al-Miqdam bin Ma'dikarb dari Nabi SAW. Bersabda, Hendaklah kamu makan sahur kerana sahur itu makanan yang diberkati.(HR An-Nasa'i: 4/146).

Dari Abi Said al-Khudri RA. " Sahur itu barakah maka jangan tinggalkan meski hanya dengan seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya bershalawat kepada orang-orang yang sahur. (HR Ahmad: 3:12)

2. Berbuka dengan menyegerakannya

Dari Sahl bin Saad bahwa Nabi SAW bersabda, "Umatku masih dalam kebaikan selama mendahulukan berbuka."(HR Bukhari 1957 dan Muslim 1058)

Dari Anas RA. Berkata bahwa Rasulullah SAW berbuka dengan ruthab (kurma muda) sebelum solat. Bila tidak ada maka dengan kurma. Bila tidak ada maka dengan minum air. (HR Abu Daud, Hakim dan Tirmizy)

3. Berdoa ketika berbuka

Dari Abdullah bin Amr bin al-Ash berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Bagi orang yang berpuasa ketika sedang berbuka ada doa yang tak akan ditolak.. (HR Tirmidzy)

ذهب الظمأ، وابتلت العروق، وثبت الأجر إن شاء الله تعالى

"Telah hilang haus dan telah basah tenggorakan dan telah pasti balasan Insya Allah."

Lafaz doa ini didasarkan atas hadits Abu Daud 2358 dan An-Nasa`i 3329 serta Al-Hakim: 1/422)

4. Memberi makan orang berbuka

Siapa yang memberi makan (saat berbuka) untuk orang yang puasa, maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang diberi makannya itu tanpa dikurangi sedikitpun dari pahalanya. (HR At-Tirmizy, An-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaemah).

5. Menjaga lidah dan anggota tubuh

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. ia berkata: "Rasulullah saw telah bersabda: Barang siapa tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak memandang perlu orang itu meninggalkan makan dan minumnya."  (HR al­Bukhari,Abu Daud, At-Tirmizy, An-Nasai, Ibnu Majah)

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. (dilaporkan bahwa) ia berkata: Apabila pada suatu hari seseorang bangun pagi dalam keadaan berpuasa, maka janganlah ia mengucapkan perkataan yang kotor dan jangan pula berbuat bodoh. Jika seseorang mencacimakinya atau mengajaknya berkelahi, maka hendaklah ia mengatakan: "Saya sedang berpuasa". (HR. Muslim)

6. Memperbanyak sadaqah

"Adalah Rasulullah SAW orang yang sangat murah dengan sumbangan. Dan saat beliau paling bermurah adalah di bulan Ramadhan saat beliau bertemu Jibril." (HR Bukhari dan Muslim)

7. Menyibukkan diri dengan ilmu dan tilawah

Jibril as. mendatangi Rasulullah SAW pada tiap malam bulan Ramadhan dan mengajarkannya Al-Qur'an.(HR Bukhari dan Muslim)


8. Beri'tikaf

Aisyah RA berkata, "Bila telah memasuki 10 malam terakhir bulan Ramadhan, Nabi SAW menghidupkan malam, membangunkan keluarganya (isterinya) dan meninggalkan isterinya (tidak berhubungan suami isteri).(HR Bukhari dan Muslim)

12. Shalat Tarawih, Tahajjud dan Witir

Dari Abu Hurairah R.A  bahwa Rasulullah SAW  bersabda: "Barangsiapa melakukan ibadah Ramadhan karena iman dan mengharap redhaNya, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu." (Muttafaq Alaihi)




Make a comment

kperak @ Friday, September 21, 2007 11:45 am

 


Wednesday, May 16, 2007

Perjalanan Terakhir Mak

Sempena Hari Ibu:
Perjalanan terakhir mak
Ahmad Lutfi Othman
Thu | May 10, 07 | 03:39:02 PM 

   Apabila isteri, Siti Hawa Samsam, mengejutkan saya jam 5.20 pagi, Sabtu, 1 Mei 1999, saya rasa ia hanya untuk mengingatkan waktu Subuh telah dekat. Tetapi melihatkan raut mukanya yang pucat, matanya yang berair, bibirnya terketar-ketar, jantung saya berdegup kencang. Saya hanya menunggu, seperti seorang pesalah menanti hukuman. 

   "Mak ...," katanya terputus-putus. 
   "Liza telefon tadi ... mak dah tak ada, bang."

   Sepi. Pilu. Sebak. Bagaikan segala pergerakan terhenti. Saya hanya mampu menarik nafas, cuba mententeramkan diri. Tidak perlu lagi saya bertanya, apa sakit mak, bila mak meninggal, di mana mak menghembuskan nafas terakhir. Segala persoalan bertukar menjadi jawapan. Yang penting, mak sudah tak ada.

Kosong sekeliling 
Saya terpaku di katil hampir lima minit, memandang kosong sekeliling. Terbayang wajah kudus mak, bicara manja mak, nasihat bermakna mak, kelembutan tangan mak, syahdu suara mak mengaji al-Quran, tekunnya mak menjagaku hampir sebulan ketika sakit, gelisahnya mak bila diberitahu SB selalu menganggu kehidupanku, dan sepinya dunia yang terasa menghimpit dan menggigit.

   Terdengar isteri sibuk mengejutkan anak-anak. Yang kecil, Umar Mukhtar merengek. Selepas menyusun kembali tarikan nafas, saya turut membangunkan anak-anak lain. Luqman Hakim kebingungan bila diminta cepat bersiap balik kampung: "Buat apa balik kampung. Abang nak periksa besok."

   Adiknya, Nurul Syafiqah dan Ikmal Syafiq, mengeliat kiri dan kanan, maklumlah, malam tadi mereka tidur selepas 12 tengah malam.

   Tanpa menunggu anak-anak bangun, saya ke bilik air. Di samping wajah ibu memenuhi ruang rumah, sekilas ingatan buat bapa, yang meninggal dunia hampir 20 tahun lalu, menyentuh kalbu. Pandangan tertumpu kerusi di anjung rumah, tempat mak selalu berehat dan berbual mesra denganku bila datang KL.

   Kesedihan rupanya cukup menyakitkan.

Lemas dan sesak 
Pancuran air panas tidak dapat menghilangkan kedinginan Subuh. Siramannya hanya dari dada ke bawah. Jika bermula dari kepala, terasa lemas dan sesak. Semasa membentang sejadah, sebak di dada memuncak.

   Pipiku panas menahan larian air mata. Di bilik sembahyang itulah mak selalu mengurut badanku sambil bercerita pahit manis kisah silam dan gelagat cucu-cucunya di kampung, memicit kepalaku sambil mengingatkan pantang larang sakit yang kutanggung.

   Selalunya bila mak datang, mak akan 'melaporkan' segala perkembangan di kampung, siapa yang akan naik haji, siapa yang berkahwin, siapa yang meninggal, apa khabar saudara di kampung, sihatkah Teh, Tok Su, Tok Jam, Wa, Pak Su.

   Sambil berteleku memohon doa, kurasakan perjalanan hidup ini terlalu singkat. Baru beberapa minggu lalu, mak ceria bersama cucu-cucunya, bergembira bersama menantunya, langsung tidak menampakkan sebarang penyakit serius yang ditanggungnya.

Usah terlewat membalas jasa ibu bapa
Sejak Umar lahir enam bulan lalu, sudah empat kali mak ke KL, menguruskan isteriku, menemaniku di hospital, dan kali terakhir "nak tengok rumah baru Mad (panggilan untuk diriku)". Selepas pak meninggal, saya selalu menghayati kata-kata nasihat yang cukup bermakna: "Selalunya, apabila kita teringat untuk membalas jasa ibu dan ayah, kita sudah terlewat."

   Saya genggam sungguh-sungguh tuntutan di sebaliknya. Janganlah ada apa-apa tindakan dan kata-kata yang boleh menumpahkan air mata mak. Berbaktilah semasa mereka masih segar bugar, jangan ditunggu lagi. Menunggu bermakna kita pasti terlewat, percayalah. Mak mungkin tak tahu banyak tentang pergolakan semasa, tetapi maklah yang menjadi pendorong dan sumber inspirasi selama ini. Bermula selepas dipecat UTM, ditangkap ISA, disusahkan kerjaku sebagai penulis, mak amat memahami perasaan dan kehendak anak kelimanya ini.

   Kedegilanku untuk terus mencabar, sejak zaman kampus, mungkin menggusarkannya tetapi sedikitpun tidak pernah dihalangnya, dan saya langsung tidak merasakan mak tidak selesa dengan apa yang saya lakukan. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kampung Raja, Kubang Pasu, cukup lama dan panjang sekali. Sebelum bertolak, isteri sempat membisikkan,

   "inilah saatnya yang paling takut ditempuh, pulang ke kampung, tanpa mak yang menunggu ... akhirnya detik itu datang juga."

Wajah mak di mana-mana
Melalui lebuh raya, pandangan dilemparkan di kejauhan mencari makna sisa-sisa hidup di sebalik wajah mak yang melintas di mana-mana. Abang sulungku, Dinsman, rupanya masih belum tiba, ketika kami sampai. Dia dalam perjalanan dari Kota Bharu. Kak Ton, Kak Na, Bang Ludin, Adik Ishak menyimpan kesedihan. Alhamdulillah, mereka di sisi mak ketika mak nazak, kesempatan paling bermakna buat seorang anak.

   Sambil menahan air mata, wajah syahdu mak kukucup: "Semoga Allah mengasihinya, sebagaimana mak mengasihiku di masa aku kecil hinggalah ke detik ini."

Buat pembaca, mohon maaf kerana catatan ini terlalu bersifat peribadi. Al-Fatihah buat Aishah Megat Hamzah.

* Tulisan ini disiarkan pertama kalinya oleh majalah Detik keluaran 15 Mei 1999 (yang kemudiannya diharamkan KDN). Beberapa nama yang disebutkan dalam artikel ini seperti puteriku, Nurul Syafiqah; nenek, Tok Jam; nenek saudara, Tok Su; dan mak saudara, Wa, juga telah meninggal dunia.




Make a comment

kperak @ Wednesday, May 16, 2007 11:12 pm

 



Blogdrive

Hak Milik ©2007 Karisma Perak

tarikh dikemaskini: 01/05/07